Conpenhagen: Juara Tour de France dua kali, Jonas Vingegaard tidak akan kembali beraksi sehingga penghujung musim ini ketika masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan tulang selangka, sekali gus terlepas Kejohanan Dunia Jalan Raya UCI bulan depan.
Pasukan Visma Lease a Bike mengesahkan perkara itu pada Isnin, selepas pelumba Denmark berusia 29 tahun terbabit dalam kemalangan ketika perlumbaan peringkat ke-15 Tour de France bulan lalu.
Vingegaard terpaksa menjalani pembedahan susulan kecederaan patah tulang selangka yang dialaminya dalam insiden berkenaan.
Kejohanan Dunia UCI dijadual berlangsung di Montreal, Kanada dari 20 hingga 27 September, manakala perlumbaan sehari Tour of Lombardy pada Oktober sebelum ini turut dilihat sebagai antara sasaran berpotensi buat Vingegaard.
“Selepas tempoh perlumbaan yang panjang dan sengit, tempoh pemulihan memang sudah dirancang selepas Tour de France.
“Bagaimanapun, disebabkan kecederaan tulang selangka, permulaan latihan saya tertangguh dan adalah mustahil untuk saya kembali ke tahap terbaik dalam tempoh terdekat.
“Fokus kini adalah untuk membuat persiapan sebaik mungkin bagi sasaran musim 2027,” kata Vingegaard dalam kenyataan pasukan.
Musim ini menyaksikan Vingegaard mencatat beberapa kejayaan penting apabila muncul juara Giro d’Italia selain memenangi Paris Nice dan Volta a Catalunya pada Mac lalu.
Ketua Perlumbaan Visma Lease a Bike, Marc Reef berkata, keputusan terbaik adalah untuk Vingegaard memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi musim depan.
“Bersama Jonas, kami akan melihat perkembangan latihan yang sesuai dan sasaran untuk tahun baharu dalam tempoh beberapa minggu akan datang,” katanya.
Keputusan itu bermakna Vingegaard kini perlu memberi keutamaan kepada pemulihan sepenuhnya sebelum kembali ke pentas perlumbaan pada musim 2027.
© New Straits Times Press (M) Bhd

