LATEST

‘Ada Melayu baik, ada Melayu jahat’ – Pesanan Allahyarham Nik Aziz jadi pegangan Mat Sabu

‘Ada Melayu baik, ada Melayu jahat’ – Pesanan Allahyarham Nik Aziz jadi pegangan Mat Sabu

SHAH ALAM – Pesanan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai kepelbagaian kaum dan kepentingan menghormati perbezaan dalam masyarakat terus menjadi pegangan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu.Beliau berkata, Islam mengajar umatnya supaya hidup bersama dalam kepelbagaian kaum dan agama, selain mengamalkan sikap saling menghormati serta tidak menjadikan perbezaan sebagai alasan untuk mencetuskan perpecahan.Menurutnya, pesanan Allahyarham Nik Aziz yang mengingatkan bahawa setiap kaum mempunyai individu yang baik dan sebaliknya wajar terus dihayati dalam kehidupan bermasyarakat.”Itulah pesanan Mursyidul Am kita yang saya pegang sampai sekarang. Ada Cina baik, ada Cina jahat. Ada Melayu baik, ada Melayu jahat. Ada Arab baik, ada Arab jahat. Ada Arab baik, Nabi Muhammad SAW. Ada Arab jahat, Abu Lahab dan Abu Jahal,” katanya.Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional 2026 di Dewan Raja Muda Musa pada Sabtu.Menurut Mohamad, Malaysia merupakan sebuah negara unik yang dibentuk daripada masyarakat pelbagai kaum, justeru keharmonian yang dikecapi perlu terus dipelihara demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara.”Kita telah melalui peristiwa perpecahan antara kaum yang menjadi sejarah pahit negara.”Atas pengajaran itu, kita ada Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 yang mengungkapkan cita-cita untuk mencapai perpaduan yang lebih erat, memelihara cara hidup demokratik, mencipta masyarakat yang adil dan progresif yang menghormati kepelbagaian tradisi dan kebudayaan.”Lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan seharusnya memberikan kita pedoman dalam mengurus perbezaan dan melayani sesama kita dalam negara Malaysia,” katanya.Sebelum itu, tayangan montaj yang memaparkan pandangan Nik Aziz mengenai kaum sebagai ketentuan ALLAH SWT yang tidak boleh dipilih turut dipertontonkan pada konvensyen berkenaan.Bagaimanapun, Mohamad melahirkan kekecewaan apabila masih terdapat golongan yang menjadikan sentimen kaum dan agama sebagai alat untuk mencetuskan kebencian serta ketakutan demi meraih sokongan kelompok yang diwakili mereka.Menurutnya, tindakan sedemikian didorong kerakusan merebut kuasa sehingga sanggup memperjudikan kestabilan negara serta mengabaikan prinsip kebenaran dan keadilan.Dalam pada itu, Mohamad menegaskan, perpaduan dan semangat kekitaan bukan sesuatu yang dilarang dalam Islam, sebaliknya agama itu menolak Asabiah yang mengatasi kebenaran, keadilan dan ikatan persaudaraan.”Asabiah yang bertentangan dengan ajaran Islam ialah semangat kesukuan, perkauman atau kepartian yang melampau sehingga seseorang membela kelompoknya secara membuta tuli, walaupun kelompok tersebut melakukan kezaliman atau perkara yang salah.”Membela kelompok sendiri walaupun melakukan kesalahan adalah Asabiah,” ujarnya.Beliau turut membangkitkan mesej puisi Melayu karya Usman Awang yang mengajak masyarakat mencintai bangsa dengan kebijaksanaan, keberanian menegur kelemahan sendiri serta mempertahankan kebenaran dan keadilan.”Semangat inilah yang mendasari tema ‘Istiqamah Menggempar Asabiyah’. Kasih kepada bangsa mesti mendorong kita memperbaiki keadaannya, bukan mempertahankan kesalahan dan kemungkaran atas nama bangsa dan agama,” ujarnya lagi.

Latest news