Amsterdam: Arne Slot berpeluang kembali ke dunia kejurulatihan lebih awal apabila namanya muncul sebagai calon utama untuk mengendalikan skuad kebangsaan Belanda susulan keputusan Ronald Koeman meninggalkan jawatannya.
Koeman mengambil keputusan berundur selepas kempen mengecewakan Belanda di Piala Dunia 2026 apabila skuad Oranje yang menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai juara Kumpulan F tersingkir seawal pusingan 32 terbaik.
Belanda terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan itu selepas tewas menerusi penentuan penalti kepada Maghribi dalam aksi kalah mati yang berlangsung sengit.
Pengunduran Koeman kini membuka ruang besar dalam struktur bola sepak Belanda dengan Slot dilihat sebagai antara calon paling realistik untuk mengambil alih tugas berkenaan.
Slot ketika ini masih belum mengendalikan mana mana pasukan selepas dipecat Liverpool pada penghujung Mei lalu susulan musim 2025/26 yang mengecewakan.
Sepanjang tempoh bersama The Reds, pasukan kendalian Slot berdepan musim sukar apabila mengalami 20 kekalahan dalam semua pertandingan.
Menurut wartawan Belanda, Marcel van der Kraan, hanya dua nama berada dalam radar Persatuan Bolasepak Belanda (KNVB) untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Koeman.
Calon pertama ialah pengendali PSV Eindhoven, Peter Bosz, namun peluang jurulatih itu dilihat semakin tipis selepas beliau baru sahaja melanjutkan kontrak bersama kelab berkenaan.
Bosz juga dilaporkan tidak berminat untuk menerima tawaran mengendalikan pasukan kebangsaan pada ketika ini.
Situasi itu menjadikan Slot sebagai calon paling menonjol untuk membimbing Belanda yang kini memerlukan perubahan selepas kegagalan mengejut di pentas Piala Dunia.
Van der Kraan turut menjelaskan KNVB lebih cenderung memilih jurulatih tempatan berbanding membawa masuk pengendali asing, sekali gus meningkatkan peluang Slot kembali memegang peranan penting dalam bola sepak Belanda.
Sekiranya dilantik, bekas jurulatih Feyenoord itu bakal berdepan cabaran besar untuk membina semula skuad Oranje dan mengembalikan reputasi mereka sebagai antara kuasa utama bola sepak dunia.
Slot sebelum ini mencipta nama ketika membawa Feyenoord muncul juara Eredivisie sebelum menerima cabaran baharu bersama Liverpool di Liga Perdana Inggeris.
Kini, persoalan utama ialah sama ada Slot mampu menghidupkan kembali semangat Oranje atau Belanda memilih hala tuju baharu selepas kegagalan di Piala Dunia 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd




