am@hmetro.com.my
Tawau: Bekas pegawai kanan tentera dan anggota Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas didapati bersalah menyembunyikan bukti bagi melindungi barang kes kemalangan maut, dua tahun lalu.
Majistret Don Stiwin Malanjum membuat keputusan itu ke atas Leftenan Kolonel (B) Werar Suleiman Ali, 57, dan Koperal Muhammad Hafizuddin Ripin, 31, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dengan niat menyembunyikan bukti bagi melindungi barang kes atau bahan bukti kemalangan iaitu sebuah motosikal yang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak berhampiran Batu 3 Jalan Apas, dekat sini, kira-kira 6 petang pada 30 Januari 2023.
Atas kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan boleh juga dikenakan hukuman denda.
Bagaimanapun pada prosiding hari ini, mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dikemukakan di Mahkamah Tinggi.
Seramai 10 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan memberikan keterangan pada perbicaraan kes bermula pada 11 Disember 2024 sebelum pihak pembelaan selesai menutup kes mereka pada 2 Disember 2025.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Wildan Firdaus Ahmad Fazly bersama Shearil Aizat Murnizam manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika dan Vivian Thien.
© New Straits Times Press (M) Bhd




