TUMPAT – Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad antara 15 ahli Parlimen yang sepatutnya mengambil bahagian dalam perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH), namun mengambil keputusan meninggalkan Dewan Rakyat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hadir.
Beliau berkata, keputusan keluar dewan bukan bermakna mereka enggan membahaskan laporan berkenaan, sebaliknya mahu perbahasan dilakukan dengan kehadiran Perdana Menteri bagi membolehkan persoalan berkaitan laporan itu dijawab secara langsung.
“Kami memang sudah bersedia, sudah buat satu sesi meja bulat dari petang Isnin sampai malam dan 15 orang ini sudah faham. Saya salah seorang yang akan bercakap dan diberi masa lapan minit.
“Keputusan malam itu, kami mahu bahas di hadapan Perdana Menteri kerana beliau merupakan subjek utama,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Tumpat di Kampung Sedar di sini pada Jumaat.
Menurutnya, pembangkang sudah memaklumkan pendirian supaya sidang khas itu ditangguhkan susulan ketidakhadiran Perdana Menteri, namun permintaan berkenaan tidak diterima.
Beliau berkata, selepas keputusan untuk meneruskan sesi pembahasan dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, pembangkang mengambil keputusan meninggalkan Dewan Rakyat.
Pada 11 Ogos lalu, sebahagian besar Ahli Parlimen blok pembangkang meninggalkan Dewan selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak permintaan supaya persidangan khas itu ditangguhkan.
Idris berkata, isu RCI berkenaan masih boleh dibahaskan pada persidangan akan datang termasuk ketika pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober ini.
“Tak apa, boleh bahas bila-bila pun sebab Parlimen juga ada.
“Oktober nanti ketika bajet, perkara dasar boleh dibincangkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan tindakan menjadikan laporan RCI berkenaan sebagai penerangan Menteri di Parlimen, bukannya perbahasan penuh terhadap laporan tersebut.
Menurutnya, perkara itu berbeza dengan pengendalian laporan RCI lain yang pernah dibentangkan dan dibahaskan di Dewan Rakyat.
“RCI ini sudah siap hampir empat tahun, ditubuhkan pada zaman Perikatan Nasional ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, tetapi ditubuhkan jawatankuasa pada zaman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ketika itu saya menjadi Menteri Agama,” katanya.
Idris turut menjelaskan bahawa beliau tidak mencampuri perjalanan RCI itu ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sebaliknya menyerahkan sepenuhnya urusan siasatan kepada jawatankuasa berkenaan.
“Saya pun tidak tanya sepatah pun berkenaan perjalanan RCI itu, saya beritahu mereka buatlah kerja, yang penting kita mahu dapatan,” katanya.
Beliau berkata, perkara penting sekarang ialah memastikan dapatan RCI berkenaan dibincangkan secara terbuka serta tindakan sewajarnya diambil sekiranya terdapat pihak yang didapati melakukan kesalahan.
