Garbett terlepas Piala Dunia kerana hamstring ketika latihan New Zealand

Garbett terlepas Piala Dunia kerana hamstring ketika latihan New Zealand

Los Angeles: Pemain tengah New Zealand, Matthew Garbett terlepas aksi Piala Dunia selepas mengalami kecederaan hamstring ketika sesi latihan sebelum perlawanan pembukaan Kumpulan G menentang Iran yang berakhir dengan keputusan seri 2-2, pagi tadi.

“Seluruh skuad bersama Matt pada saat ini dan kami amat kecewa kerana dia tidak dapat beraksi dalam kejohanan ini,” kata Persatuan Bolasepak New Zealand menerusi hantaran di media sosial.

Penyerang Auckland FC, Logan Rogerson dipanggil bagi menggantikan Garbett yang beraksi bersama Peterborough United dalam divisyen ketiga bola sepak England.

“Matty adalah kawan baik saya dan saya benar-benar sedih dengan apa yang berlaku kepadanya,” kata Rogerson dalam kenyataan Auckland FC.

“Sejujurnya, perasaan saya bercampur-baur. Pada masa yang sama, saya teruja untuk menyertai pasukan dan bertemu semula dengan rakan sepasukan.”

New Zealand akan meneruskan saingan mereka di Piala Dunia menentang Mesir, Isnin ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top