Perpaduan sosial menjadi jaminan keselamatan paling berkekalan bagi sesebuah negara, selain keupayaan mempertahankan sempadan serta menangani ancaman siber dan ekstremisme.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah, integriti nasional bukan hanya bergantung kepada kekuatan sistem keselamatan, tetapi turut diperkukuh menerusi rasa memiliki dalam kalangan setiap rakyat terhadap negara.
Baginda turut mengingatkan Malaysia dan dunia Islam supaya berwaspada terhadap eksploitasi sentimen agama bagi kepentingan politik sempit yang boleh membawa kepada perpecahan, bukannya perpaduan dan keterangkuman.
“… manipulasi agama untuk membenarkan perpecahan, bukannya perpaduan serta pengecualian, bukannya keterangkuman yang ingin diketengahkan menerusi persidangan ini.
“Integriti nasional sebenar terletak pada setiap warganegara, tanpa mengira kaum atau agama, yang merasakan mereka mempunyai kepentingan sama dalam masa depan negara. Apabila rasa memiliki terhadap negara itu tiada, sebesar mana sekali pun jentera keselamatan tidak mampu menggantikannya,” titah baginda.

Sultan Nazrin menyampaikan ucaptama pada Persidangan Mengenai Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) kelapan bertemakan “Setiap Insan Dihargai: Kemuliaan dan Perpaduan Dalam Islam” di Ipoh, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Dalam ucapannya, Sultan Nazrin menjelaskan keselamatan negara tidak boleh dipisahkan daripada integriti kerana negara yang bebas daripada ancaman luar tetapi masih berdepan rasuah dan ketidakadilan dalaman belum mencapai keselamatan sebenar.
Baginda menegaskan integriti nasional tidak dibina melalui keseragaman atau tindakan menyekat perbezaan pandangan, sebaliknya dengan memastikan setiap komuniti mempunyai kepentingan sebenar terhadap kejayaan negara.
“… dan dapat melihat kepentingan mereka diwakili secara adil dalam undang-undang, ekonomi, sistem pendidikan serta kepimpinan negara.
“Perpaduan yang terbina melalui paksaan mudah goyah, sementara perpaduan yang dibina atas rasa memiliki bersama adalah berdaya tahan, dan ketahanan inilah yang merupakan bentuk sebenar keselamatan negara,” titah baginda.
Menyentuh aspek pendidikan, Sultan Nazrin berpandangan pembangunan modal insan perlu diberi keutamaan bagi mendepani cabaran masa depan termasuk automasi, perubahan iklim serta ekonomi berteraskan pengetahuan.
Baginda menjelaskan pelaburan dalam pendidikan bukan sekadar melibatkan pembinaan sekolah dan universiti, sebaliknya turut merangkumi pembaharuan kandungan serta kaedah pembelajaran dengan memperkukuh bidang sains dan matematik tanpa mengetepikan kemanusiaan serta kesenian.

Sultan Nazrin turut menekankan kepentingan memberi martabat dan pelaburan setara kepada pendidikan teknikal serta vokasional supaya golongan muda berkemahiran dihargai sepertimana mereka yang memilih laluan akademik.
“… dan memastikan pendidikan teknikal serta vokasional diberikan martabat dan pelaburan yang setara dengan laluan akademik, agar seseorang anak muda yang memilih untuk menjadi pekerja mahir turut dihargai sama seperti mereka yang bercita-cita menjadi doktor atau jurutera,” titah baginda.
Mengulas cabaran era kecerdasan buatan (AI), baginda berkata sistem pendidikan perlu berubah daripada pendekatan berasaskan hafalan dan ujian piawai kepada pembentukan individu yang mampu berfikir secara kritis, kreatif serta membuat pertimbangan beretika.

Menurut Sultan Nazrin, keupayaan manusia untuk menyesuaikan diri, berfikir secara mendalam dan membuat pertimbangan moral menjadi nilai yang tidak mampu ditiru sepenuhnya oleh kecerdasan buatan.
“Apa diperlukan golongan muda hari ini ialah kemampuan berfikir secara kritis, membuat pertimbangan beretika, bersikap kreatif dan menyesuaikan diri – iaitu keupayaan manusia yang tidak mampu ditiru oleh kecerdasan buatan, serta keupayaan sememangnya sentiasa ingin dipupuk oleh pendidikan Islam yang dirangka dengan sewajarnya, berteraskan ilmu wahyu dan penelitian rasional,” titah baginda.
Sumber: Malaysiakini




