DI tengah-tengah gelombang revolusi kecerdasan buatan (AI), dunia kini semakin mengangkat teknologi sebagai pemacu utama produktiviti dan pertumbuhan ekonomi.
Organisasi berlumba-lumba menjadi ‘sedia AI’, institusi pendidikan memperkukuh literasi digital manakala individu berusaha menguasai pelbagai alat baharu demi kelangsungan kerjaya.
Namun di sebalik keterujaan ini, berlaku anjakan halus yang jarang disedari, iaitu standard kecemerlangan manusia mula merosot secara perlahan apabila nilai itqan semakin terhakis.
Kebergantungan berlebihan kepada automasi melahirkan fenomena ‘kecemerlangan kosmetik’. Proses berfikir, menilai dan berkarya semakin diserahkan kepada algoritma, lalu manusia kehilangan sentuhan intelek yang lahir daripada usaha dan ketekunan. Kita kelihatan lebih produktif kerana mampu menghasilkan lebih banyak dalam masa singkat tetapi kualiti pemikiran dan keaslian idea semakin menipis.
Perubahan ini berlaku secara beransur-ansur melalui normalisasi penggunaan AI dalam kehidupan harian. AI kini membantu menulis, menganalisis dan menghasilkan laporan dengan pantas. Data menunjukkan lebih 60 peratus organisasi telah mengintegrasikan AI dalam operasi manakala ramai pekerja bergantung kepadanya dalam tugasan harian. AI bukan lagi alat tambahan tetapi sudah membentuk cara manusia berfikir.
Walau bagaimanapun, peningkatan kecekapan ini tidak semestinya meningkatkan kualiti pemikiran. Ramai mula menerima output AI tanpa penilaian kritikal. Akibatnya, kecemerlangan diukur melalui kelancaran hasil, bukan kedalaman analisis. Fenomena ini mewujudkan ilusi kejayaan apabila hasil kelihatan sempurna tetapi proses intelektual semakin lemah.
Dalam dunia pekerjaan, laporan disiapkan lebih cepat dan pembentangan lebih menarik, namun kandungannya sering bersifat umum dan kurang analisis mendalam. Teknologi meningkatkan produktiviti tetapi pada masa sama mengurangkan keupayaan berfikir secara kritikal.
Dalam pendidikan pula, pelajar mudah mendapatkan jawapan segera melalui AI. Tugasan yang dahulu memerlukan pembacaan dan analisis kini diselesaikan dalam beberapa minit. Keadaan ini memudahkan proses pembelajaran tetapi mengurangkan latihan berfikir secara mendalam.
Organisasi turut menghadapi cabaran sama apabila prestasi diukur melalui kuantiti output, bukan kualiti pemikiran. Tekanan untuk cepat menyiapkan kerja menjadikan AI sebagai jalan pintas, sekali gus melemahkan budaya analisis dan inovasi jangka panjang.
Justeru, AI perlu dilihat sebagai alat yang memperkukuh keupayaan manusia, bukan menggantikannya. Pendidikan perlu menekankan pemikiran kritikal, refleksi dan proses pembelajaran yang mendalam. Organisasi pula perlu mengimbangi penggunaan teknologi dengan pembangunan nilai intelektual dan keaslian idea. –UTUSAN
NURUL NISHA MOHD. SHAH & PROFESOR MADYA DR. ROSMAWATI MOHAMAD RASIT
Universiti Teknologi Mara (UiTM) & Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)




