LATEST

Penang lakar kemenangan 1-0 ke atas KL City FC

Penang lakar kemenangan 1-0 ke atas KL City FC

KUALA LUMPUR: Victor Andrag memulakan kempen sebagai jurulatih baharu Penang FC dengan langkah kanan selepas menumbangkan KL City FC 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Kemenangan itu menamatkan rentetan dua kekalahan berturut-turut dalam Liga Super sekali gus membantu skuad Harimau Kumbang melonjak ke tangga ketujuh Liga Super dengan tujuh mata.

Baca juga: Kerajaan Selangor salur RM1 juta kepada Tabung Alumni Anak Negeri Selangor di UPM

KL City FC pula terus berdepan kemerosotan prestasi apabila mereka kini melakar tiga kekalahan berturut-turut untuk berada di tangga kesembilan dengan enam mata.

Peluang pertama perlawanan hadir seawal 15 saat untuk Penang FC susulan salah faham antara penjaga gol KL City FC, Quincy Kammerad dengan Syazwan Andik Ishak namun percubaan Dejan Tumbas tersasar tinggi.

Penang FC terus mencipta peluang pada minit ke-12 selepas berjaya memenangi bola di udara dan disambar Enzo Celestine sebelum gerakannya menuju ke pintu gol KL City FC dihalang Adam Nor Azlin.

Penjaga gol Penang FC, Khairulazhan Khalid cemerlang ‘menutup’ pintu gawangnya apabila mudah menangkap percubaan Fareed Sadat pada minit ke-32 sebelum sekali lagi menepis tampanan Fareed lima minit berselang.

Ketika babak pertama seakan berakhir tanpa jaringan, Penang FC memecah kebuntuan selepas tampanan Adam yang cuba menghalang rembatan Mohamad Khala’if Mohd Naskam melambung masuk ke gawang KL City FC untuk kedudukan 1-0.

Bersambung selepas rehat, KL City FC menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan dan menguji gawang Penang FC menerusi percubaan Giancarlo Gallifuoco pada minit ke-48 yang melambung tinggi.

Sekalipun ditekan tuan rumah, Khairulazhan terus memastikan Penang FC kekal mendahului perlawanan apabila menyelamatkan rembatan jarak dekat Paulo Josue pada minit ke-66.

Malang buat KL City FC selepas Josue dilayangkan kad merah pada minit ke-86 selepas semakan menerusi monitor Video Bantuan Pengadil (VAR) yang dilakukan pengadil, Mohamad Faizudin Ismail mendapati Josue mengasari bahagian muka Tumbas.

Keadaan menjadi panas di hujung permainan apabila Obilor Faith Friday bergelut dengan Syafiq Ahmad selepas pertahanan Penang FC itu cuba menghalang pergerakan Syafiq yang cuba mencabar bola dari kaki Khairulazhan.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat permainan untuk pelawat mengutip tiga mata berharga di tempat lawan yang juga hanya kemenangan kedua mereka dalam liga setakat ini. – UTUSAN

The post Penang lakar kemenangan 1-0 ke atas KL City FC appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news