Pickleball satukan warga UMBI

Pickleball satukan warga UMBI

Bangi: Sukan pickleball terus mencuri perhatian apabila Institut Biologi Molekul Perubatan (UMBI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya menghimpunkan warga institusi itu dalam Kejohanan Pickleball UMBI 2026 yang berlangsung di 11Pickel, Kelab Golf Danau UKM, hari ini.

Penganjuran julung kali itu disertai 22 peserta terdiri daripada pensyarah, pegawai, kakitangan pelaksana, pelajar dan pembantu penyelidik UMBI, sekali gus menjadi platform mengeratkan hubungan selain memupuk budaya hidup sihat dalam kalangan warga institut berkenaan.

Jurucakap penganjur, Bisharuzi Omar berkata, kejohanan itu dianjurkan bagi memperkenalkan sukan pickleball kepada warga UMBI selain menyokong aspirasi Universiti Kebangsaan Malaysia menerusi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3 yang menekankan aspek kesihatan dan kesejahteraan.

“Objektif utama adalah untuk menggalakkan warga UMBI mengamalkan gaya hidup aktif di samping mengeratkan silaturahim antara semua peserta.

“Melihat sambutan yang cukup memberangsangkan, kami bercadang menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan UMBI,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Rekreasi dan Pameran (JKRP) UMBI, Siti Nur Hasanah Mohd Yusuf berkata, kejohanan itu berjaya menyatukan seluruh warga UMBI tanpa mengira jawatan dan latar belakang.

“Penglibatan warga UMBI membuktikan semangat kebersamaan yang tinggi serta minat yang semakin meningkat terhadap sukan pickleball. Kami berharap lebih ramai akan menyertai edisi akan datang,” katanya.

Dalam saingan kategori bergu lelaki, gandingan Wan Faisal bersama Dr Aimanuddin muncul juara selepas menewaskan pasangan Bisharuzi Omar dan Hafiz Amin pada perlawanan akhir.

Tempat ketiga menjadi milik Hanif Zukhairi dan Raja Mohd Fadhil, manakala Muhiddin bersama Haziq menamatkan saingan di kedudukan keempat.

Bagi kategori bergu wanita pula, Sabrina George dan Farina muncul juara, diikuti pasangan Junaida dan Dr Izanee di tempat kedua, Amalia bersama Azlinda di tangga ketiga, manakala Idyan dan Ruzaida menamatkan kejohanan di tempat keempat.

Kejohanan itu turut dimeriahkan dengan aksi persahabatan membabitkan pasukan Pilihan UMBI menentang Pilihan Media, yang menyaksikan pasukan media muncul pemenang.

Bagi Sabrina George dan Farina, kejayaan muncul juara cukup bermakna kerana ia adalah pengalaman pertama mereka beraksi dalam sukan pickleball.

“Walaupun tiada pengalaman, kami mahu mencabar diri untuk belajar sesuatu yang baharu. Sepanjang kejohanan ini kami banyak mempelajari teknik daripada pemain yang lebih berpengalaman.

“Pengalaman bukan penghalang untuk mencuba. Kami berharap lebih ramai berani keluar daripada zon selesa dan menikmati keseronokan bersukan,” kata mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top