Putrajaya: Rakyat Malaysia bakal menikmati liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 apabila semua 104 perlawanan disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV yang merupakan penyiar rasmi kejohanan bola sepak terbesar dunia itu.
Menurut soalan lazim (FAQ) yang dikeluarkan penyiar rasmi kejohanan itu, peminat bola sepak boleh mengikuti perlawanan menerusi platform Unifi TV serta saluran utama RTM di platform MYTV iaitu TV Okey (saluran MYTV 110) dan Sukan+ (saluran MYTV 111).
Kejohanan yang dijadual berlangsung di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico itu boleh ditonton secara percuma menerusi platform penstriman RTMKlik melalui aplikasi mudah alih dan laman sesawang rasmi RTM.
Bagi memastikan akses yang lebih meluas, RTMKlik boleh digunakan menerusi pelbagai peranti termasuk telefon pintar Android dan iOS, komputer riba, komputer peribadi serta televisyen pintar.
Pengguna tidak diwajibkan mendaftar akaun untuk menonton kandungan di RTMKlik, namun pendaftaran digalakkan bagi mendapatkan pengalaman tontonan yang lebih baik serta akses kepada ciri tambahan.
RTM turut menyediakan kemudahan tontonan semula bagi perlawanan tertentu menerusi RTMKlik, tertakluk kepada jadual yang akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Selain siaran langsung, penyiar nasional itu akan menawarkan program khas sepanjang kejohanan termasuk praperlawanan, analisis, sorotan harian dan perkembangan terkini berkaitan pertandingan.
RTM turut akan menyediakan ulasan dan komentar dalam bahasa Melayu serta Inggeris bagi perlawanan tertentu, manakala siaran terpilih akan ditawarkan dalam format definisi tinggi (HD), bergantung kepada platform dan capaian pengguna.
Jadual siaran perlawanan akan diumum dan dikemas kini menerusi platform rasmi RTM, termasuk RTMKlik, portal RTM serta saluran media sosial rasmi RTM dan Sukan TV RTM.
“Peminat yang berdepan masalah teknikal seperti gangguan penstriman atau aplikasi RTMKlik tidak dapat diakses dinasihatkan memastikan sambungan Internet stabil serta menggunakan versi aplikasi terkini yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple App Store,” menurut FAQ itu.
Piala Dunia FIFA 2026 adalah edisi pertama yang menampilkan 48 pasukan dan dijangka menjadi kejohanan terbesar dalam sejarah pertandingan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



