WASHINGTON: Senator parti Demokrat di Amerika Syarikat (AS), Chris Murphy pada Ahad berkata, Presiden Donald Trump telah kalah dalam perang dengan Iran dan berhujah bahawa pertempuran yang berterusan melemahkan AS dan pada masa sama menguatkan Teheran.
“Amerika lebih lemah. Iran lebih kuat,” kata Murphy kepada NBC. Katanya, beliau akan menyokong walaupun perjanjian yang tidak baik bagi menamatkan perang dan membuka semula Selat Hormuz.
Beliau berkata, kos untuk membuka semula laluan air strategik itu semakin meningkat ketika rundingan masih menemui jalan buntu.
Menurut The Washington Times, pegawai Iran menuntut pampasan, penarikan balik sekatan dan penghentian operasi ketenteraan AS.
“Perang ini perlu dihentikan kerana setiap hari perang berterusan, Amerika menjadi semakin lemah, Iran semakin kuat dan rakyat di Amerika Syarikat pula semakin terjejas apabila harga terus meningkat, meningkat dan meningkat,” kata Murphy.
Perang bermula 28 Februari apabila AS bersama Israrel menyerang Teheran selepas rundingan di Switzerland berhubung isu nuklear Iran gagal mencapai penyelesaian.
Murphy berkata, beliau akan menentang peruntukan dana untuk meneruskan perang, tetapi menyokong usaha mengisi semula stok bekalan peluru dan senjata AS selepas konflik berakhir.
Kenyataan itu dibuat selepas satu pindaan baru-baru ini di Dewan Perwakilan AS gagal diluluskan, yang bertujuan menghentikan bantuan Amerika kepada Israel tanpa syarat. – AGENSI

