LATEST
Business

Jotun labur RM500 juta buka ibu pejabat serantau, pusat R&D di Shah Alam

Jotun labur RM500 juta buka ibu pejabat serantau, pusat R&D di Shah Alam

SHAH ALAM – Jotun melabur sehingga RM500 juta bagi membangunkan ibu pejabat serantau Asia Tenggara dan Pasifik serta Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) baharu di Glenmarie di sini.Kemudahan yang dirasmikan pada 18 November itu menjadi pangkalan serantau syarikat berkenaan bagi menyokong operasi perniagaannya di Malaysia dan lapan pasaran lain di rantau ini.Pelaburan bernilai kira-kira AS$123 juta itu merangkumi pembangunan ibu pejabat serantau dan pusat R&D yang ditempatkan di bawah satu bumbung serta mampu menempatkan sehingga 200 pekerja, dengan 133 kakitangan kini bertugas di lokasi itu.Pembukaan kemudahan baharu itu turut berlangsung ketika Jotun meraikan ulang tahun ke-100 penubuhannya sejak 1926, dan mula bertapak di Asia Tenggara pada 1968 dan mempunyai kilang di Malaysia sejak 1985.Malaysia dipilih sebagai lokasi pembangunan itu berikutan kestabilan pasaran, kedudukannya yang strategik di tengah rantau ini serta ketersediaan tenaga pakar teknikal dan R&D.Naib Presiden Asia Tenggara dan Pasifik Jotun, Jon Bigseth berkata, pembukaan ibu pejabat serantau dan pusat R&D itu mencerminkan keyakinan syarikat terhadap rantau Asia Tenggara dan Pasifik serta komitmennya untuk terus melabur bagi masa depan rantau berkenaan.Menurutnya, kemudahan itu bukan sekadar bangunan baharu, sebaliknya menjadi pusat penyatuan tenaga kerja, kepakaran dan kerjasama bagi mewujudkan peluang serta pertumbuhan jangka panjang di seluruh rantau ini.”Ibu pejabat berkenaan akan menyokong operasi Jotun di Vietnam, Indonesia, Thailand, Filipina, Kemboja, Myanmar, Singapura dan Australia.”Secara keseluruhan, operasi Jotun di rantau Asia Tenggara dan Pasifik mempunyai kira-kira 2,500 pekerja daripada 26 kewarganegaraan,” katanya ditemui pemberita pada Rabu.Dalam pada itu, pusat R&D baharu itu mempunyai sebuah makmal yang mengendalikan empat segmen penyelidikan, iaitu cat hiasan, salutan marin, salutan perlindungan dan salutan serbuk.Makmal berkenaan dilengkapi peralatan analisis canggih termasuk Fourier Transform Infrared Spectrometer (FTIR), Differential Scanning Calorimeter (DSC), rheometer dan spektrofotometer.Kemudahan itu turut mempunyai peralatan bagi menjalankan ujian kakisan dipercepatkan serta mesin simulasi cuaca bagi membangunkan dan menguji penyelesaian salutan yang sesuai dengan keadaan iklim mencabar di rantau ini.Keadaan berkenaan merangkumi suhu tinggi, kelembapan tinggi dan sinaran ultraungu (UV) yang kuat.Pusat R&D itu turut dilengkapi kemudahan pengeluaran perintis bagi membolehkan pasukan penyelidik meningkatkan skala inovasi serta memastikan produk berkenaan bersedia untuk pengeluaran.Antara produk yang akan dibangunkan termasuk cat luaran yang mempunyai ketahanan tinggi terhadap cuaca ekstrem dan kotoran serta cat dalaman dengan pelepasan emisi rendah dan ketahanan tinggi.Pakar warna di pusat berkenaan juga boleh menghasilkan warna berdasarkan permintaan pelanggan, manakala kawasan bumbung bangunan disediakan untuk ujian luluhawa semula jadi.Pengarah R&D Serantau Asia Tenggara dan Pasifik Jotun, Hans Kristian Austad berkata, keupayaan penyelidikan dan pengujian canggih di pusat baharu itu membuka peluang lebih luas untuk menghasilkan inovasi serta penyelesaian yang memenuhi keperluan pelbagai pasaran di rantau ini.Menurutnya, inovasi bukan sekadar diukur berdasarkan hasil penyelidikan di makmal, sebaliknya melalui kesannya kepada masyarakat dan pengguna di luar kemudahan berkenaan.”Dari aspek reka bentuk, fasad bangunan itu menampilkan corak songket yang dipilih berdasarkan konteks tempatan.”Reka bentuk dalaman dan perabot termasuk kerusi serta dinding anyaman pula menggabungkan pengaruh asal Norway dengan elemen dari seluruh Asia Tenggara,” katanya.Bangunan berkenaan turut memperoleh pensijilan LEED Gold sebagai pengiktirafan terhadap ciri kelestariannya.Ia dilengkapi pemasangan sistem solar berkapasiti 237.90 kilowatt puncak (kWp) yang membekalkan antara lima hingga 10 peratus daripada keperluan tenaga bangunan.Selain itu, menurutnya, sistem penuaian air hujan turut disediakan bagi membolehkan air dikumpulkan dan digunakan semula untuk tujuan penyiraman landskap serta pengepaman tandas.Jelasnya, kemudahan berkenaan mempunyai 200 ruang parkir termasuk 15 ruang yang dilengkapi pengecas kenderaan elektrik (EV).”Kerja pembinaan bangunan itu turut memperoleh penarafan lima bintang menerusi Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Pembinaan (SHASSIC) oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi aspek keselamatan tapak projek.”Projek berkenaan turut memperoleh skor 88 menerusi Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) bagi aspek mutu kerja,” tambahnya.    

More in Business

View all

Latest news