MANILA – Sebuah pesawat Air Niugini yang membawa 146 penumpang dan kru dari Hong Kong ke Papua New Guinea (PNG) melakukan pendaratan cemas di selatan Filipina pada Sabtu selepas sistem pengesan memberi amaran kemungkinan berlaku kebakaran pada enjin.Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP), kesemua 137 penumpang dan sembilan kru dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan selepas pesawat Boeing 767-383ER itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Davao.Penumpang dan kru kemudiannya diarahkan meninggalkan pesawat menggunakan gelongsor kecemasan.Ketika kejadian, juruterbang dilaporkan mengesan petunjuk kemungkinan berlaku percikan api pada enjin sebelah kanan pesawat sebelum mengambil langkah keselamatan dan meminta kebenaran untuk melakukan pendaratan luar jadual di Davao.Jurucakap CAAP, Eric Apolonio berkata, siasatan akan dijalankan dengan mengambil kira keterangan juruterbang bagi mengenal pasti punca sebenar insiden.Difahamkan, kesemua penumpang dan kru kemudian dibawa ke terminal lapangan terbang sebelum diberikan bantuan serta penginapan hotel.Insiden itu turut menyebabkan operasi Lapangan Terbang Davao dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada pasukan kecemasan menjalankan tugas hingga menyebabkan dua penerbangan domestik yang dijadualkan tiba terpaksa dibatalkan.Menurut CAAP, operasi lapangan terbang itu kembali dibuka selepas pemeriksaan keselamatan di landasan utama selesai. – Agensi
Percikan api pada enjin, pesawat bawa 146 penumpang mendarat cemas
Malay News | https://www.malay.news/percikan-api-pada-enjin-pesawat-bawa-146-penumpang-mendarat-cemas/