Suspek mabuk, buat kacau punca pergaduhan di kedai serbaneka

Suspek mabuk, buat kacau punca pergaduhan di kedai serbaneka

harisfadli@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Suspek disyaki mabuk dan membuat kacau dipercayai menjadi punca pergaduhan di sebuah kedai serbaneka 24 jam, di sini, yang tular baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pekerja di premis terbabit pada 3.26 petang semalam.

“Pekerja di premis berkenaan iaitu seorang lelaki tempatan membuat laporan berhubung kejadian membabitkan suspek juga lelaki tempatan masuk ke dalam premis dalam keadaan mabuk.

“Suspek kemudian mengganggu pekerja terbabit sehingga menyebabkan pergaduhan antara kedua-dua mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis turut mengesan satu klip video tular berdurasi 36 saat yang memaparkan dua individu sedang berkelahi di sebuah kedai serbaneka.

Katanya, pekerja terbabit mengalami kecederaan ringan dan identiti suspek yang sudah dikenal pasti kini sedang dikesan oleh pihak polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Permohonan arahan meneruskan siasatan (OTI) akan dibuat bagi tujuan siasatan lanjut dan suspek serta saksi yang terlibat akan dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat tidak tepat di media sosial serta tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak benar berhubung insiden ini,” katanya.

Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhamad Shahiren Ibrahim di talian 019-5693864 arau Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya, 03 79662222.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top