am@hmetro.com.my
Alor Setar: Sebatang tongkat di atas jalan raya membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki warga emas dalam longkang di pekan Simpang Kuala, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.40 petang semalam memaklumkan orang awam terjumpa mayat warga emas terbabit.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Alor Setar ke lokasi kejadian menjalankan pemeriksaan dan siasatan mendapati mayat lelaki warga emas itu dikenali sebagai Chew Kim Leng, 74.
Katanya, warga emas itu menetap di rumah pangsa Simpang Kuala yang terletak berhampiran dengan lokasi kejadian dan dia dipercayai tergelincir ketika melalui longkang.
“Hasil temu bual awal bersama saksi memaklumkan pada jam 4 petang, dia melihat tongkat di atas jalan raya dan ingin membuang tongkat itu ke atas rumput berhampiran.
“Ketika itu saksi ternampak satu objek seakan manusia di dalam longkang terbabit dan bertindak menahan kereta MPV Polis yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan kejadian dan memaklumkan kepada anggota polis terbabit,” katanya dalam kenyataannya, malam tadi.
Syed Basri berkata, hasil pemeriksaan tidak terdapat sebarang unsur jenayah dan mayat lelaki itu dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kejadian.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, ” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial semalam berkaitan penemuan mayat lelaki di dalam longkang di Pekan Simpang Kuala, semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd



