LATEST
National

Barcelona benam Deportivo, Raphinha ledak hatrik

Barcelona benam Deportivo, Raphinha ledak hatrik

A CORUNA, Sepanyol: Penjaring terbanyak LaLiga, Raphinha meledak hatrik ketika Barcelona melebarkan jurang kepada lima mata di puncak liga menerusi kemenangan 5-1 ke atas Deportivo La Coruna, awal pagi tadi.

Baca juga: Raja Puan Muda Kedah ziarah keluarga pelajar tingkatan tiga maut di SBP

Lamine Yamal dan Dani Olmo turut mencatat nama sebagai penjaring buat skuad kendalian Hansi Flick dalam aksi menarik di Galicia itu, menjelang pertemuan menentang Atletico Madrid, Rabu ini.

Atletico yang berada di tangga kedua menewaskan Elche 3-2, Sabtu lalu.

Juara bertahan, Barcelona kini enam mata di depan seteru mereka, Real Madrid, yang mengalami kekalahan mengejut 2-1 kepada Alaves pada awal hujung minggu ini.

Raphinha, yang bermain di luar posisi asal musim ini sebagai penyerang tengah selepas usaha mendapatkan Julian Alvarez dari Atletico pada jendela perpindahan musim panas gagal, mendahului carta penjaring LaLiga dengan 18 gol.

“Saya fikir bermain sebagai penyerang memberikan saya peluang untuk menjaringkan gol. Sejujurnya, semuanya berjalan lancar dan saya sangat menikmatinya.

“Saya fikir kami sedang mengharungi musim yang baik dan perlu meneruskan rentak ini. Ada ketika prestasi kami merosot atau meningkat sepanjang musim, tetapi kami sentiasa yakin dengan permainan sendiri,” kata Raphinha.

Bintang remaja, Yamal meletakkan Barcelona di depan pada minit kedua menerusi hantaran lintang rendah yang dilepaskan Olmo, sebelum bola terus menerjah gawang.

Depor pantas menyamakan kedudukan menerusi bekas penyerang Barcelona, Pierre-Emerick Aubameyang, selepas kesilapan Pau Cubarsi.

Pemain yang menjuarai Piala Dunia itu gagal mengawal bola dengan baik, membolehkan Aubameyang merampasnya sebelum melambungkan bola melepasi penjaga gol, Joan Garcia.

Bil Nsongo hampir meletakkan Depor di depan, namun Garcia melakukan aksi menyelamat cemerlang menggunakan sebelah tangan untuk menafikan tandukannya.

Sebaliknya, Barcelona kembali mendahului apabila Olmo menanduk masuk hantaran lintang Anthony Gordon dari sebelah kiri.

“Kami bergelut selama lima atau 10 minit selepas mereka menyamakan kedudukan… selepas itu kami mempamerkan permainan yang hebat,” kata Flick.

Yamal hampir menambah jaringan apabila rembatannya menggegar tiang selepas kombinasi hantaran kemas bersama Olmo, manakala percubaan Raphinha tersasar tipis ketika Barcelona cuba memastikan kemenangan.

Raphinha kemudian menanduk masuk hantaran lintang Yamal untuk gol ketiga Barcelona pada awal babak kedua, ketika skuad kendalian Flick menguasai permainan.

Jaringan Yamal dibatalkan kerana ofsaid, manakala Gordon yang cemerlang turut dinafikan oleh penjaga gol Depor, Leo Roman.

Bekas pemain sayap Newcastle, Gordon mencipta gol keempat buat Raphinha yang meledak bola dari jarak dekat.

Yamal, yang terlepas aksi pertengahan minggu menentang Sabah di Azerbaijan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, sekali lagi memainkan peranan apabila Barcelona melengkapkan kemenangan besar menerusi jaringan pada masa kecederaan.

Raphinha yang tidak mengenal penat menyudahkan hantaran rendah pemain sayap itu untuk melengkapkan hatrik ketiganya musim ini.

Pertemuan Barcelona menentang Atletico di Camp Nou pada pertengahan minggu ini memberi peluang kepada mereka untuk mengukuhkan kedudukan dalam perebutan kejuaraan.

“Kami tahu mereka mempunyai pasukan yang sangat bagus. (Pengendali Diego Simeone) sudah melakukan tugas yang hebat.

“Apabila anda mengendalikan pasukan selama bertahun-tahun, anda mempunyai keinginan dan emosi untuk terus melaburkan komitmen kepada pasukan. Ia sesuatu yang luar biasa,” tambah Flick.

Deportivo gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut dan kini berada di tangga ke-13 untuk sementara.

“Saya fikir berdasarkan perjalanan perlawanan, keputusan itu terlalu besar.

“Kami kecewa. Kami mahu bangkit dan cuba membalas semula kasih sayang yang diberikan penyokong kepada kami,” kata pertahanan Depor, Jose Maria Gimenez.

Dalam aksi lain, Sevilla melonjak ke tangga kelima selepas menewaskan Real Sociedad yang berada di kedudukan keenam, 4-2 di gelanggang lawan.

Villarreal pula mencatat kemenangan 2-1 di tempat lawan ke atas Celta Vigo menerusi dua gol Georges Mikautadze untuk naik ke tangga ke-10.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news