
Sebuah kapal tangki yang membawa minyak Amerika Syarikat (AS) tiba di Jepun.
TOKYO – Sebuah kapal tangki yang membawa minyak Amerika Syarikat (AS) tiba di Jepun pada Ahad, menandakan penghantaran pertama seumpamanya dari AS sejak perang Iran bermula pada lewat Februari, lapor Agensi Berita Kyodo.
Menurut Cosmo Energy Holdings yang memperoleh minyak mentah berkenaan dari AS, kapal tangki itu membawa 145,000 kiloliter (145 juta liter) setibanya di Teluk Tokyo, jumlah yang menyamai kira-kira separuh daripada penggunaan domestik harian.
Konflik AS-Israel dengan Iran telah menyebabkan penutupan Selat Hormuz, yang merupakan laluan utama bagi penghantaran tenaga global. Jepun bergantung kepada Asia Barat untuk lebih 90 peratus daripada import minyak mentahnya, yang mana sebahagian besar daripadanya melalui selat berkenaan.
Kapal tangki itu berlepas dari Texas pada 22 Mac dan melalui Terusan Panama yang boleh menampung kapal-kapal bersaiz lebih kecil.
Kerajaan Jepun dan pemborong minyak telah berusaha untuk mendapatkan bekalan daripada laluan alternatif bagi mengelak daripada melalui Selat Hormuz.
Selain AS, kerajaan juga akan memperoleh minyak daripada sumber lain seperti Amerika Selatan dan Asia Tengah. – Bernama



